Tutup

Laporan kedudukan Malaysia dalam penguasaan bahasa Inggeris bukan cerminan sebenar

Laporan kedudukan Malaysia dalam penguasaan bahasa Inggeris bukan cerminan sebenar
Malaysia berada di tangga ketiga Asia, namun jatuh empat anak tangga dalam perbandingan dengan negara di seluruh dunia.
KUALA LUMPUR: Kedudukan Malaysia dalam EF English Proficiency Index (EF EPI) 2019 tidak mencerminkan tahap kemahiran sebenar penguasaan Bahasa Inggeris rakyat di negara ini.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock berkata, walaupun Malaysia jatuh ke tangga ke-26 berbanding ke-22 pada tahun sebelumnya, namun ia masih pada tahap memberansangkan. 
Ini kerana, kata beliau, kaedah yang digunakan dalam kajian tersebut berkemungkinan tidak bertepatan dengan sesetengah negara memandangkan Bahasa Inggeris bukan bahasa rasmi negara berkenaan.

“Pertama kita tidak tahu bagaimana instrumen yang digunakan, kita hanya tahu dapatan daripada mereka tetapi cara mereka menguruskan dan mengukur, kita tidak ada check and balance (semak dan imbang).
“Kedua, seperti negara Singapura, Bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi jika dibandingkan dengan negara kita, di mana bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

“Jadi, mungkin dari segi (pengukuran) kita boleh lihat ada ketidakbolehpercayaan dan kesahihan terhadap perbandingan (kajian) tersebut,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Khamis.

Beliau menambah beberapa industri di negara ini menunjukkan penguasaan bahasa Inggeris yang memuaskan termasuk dalam industri perkhidmatan.

Bagaimanapun ujar beliau, tumpuan perlu diberikan dalam memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris di peringkat sekolah di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Jadi, itu diberikan satu mesej penting dan jelas kepada rakyat negara ini bahawa sekiranya kita mahu menjadi pemain di peringkat antarabangsa, kita tiada pilihan selain mesti menguasai bahasa Inggeris secara formal,” katanya.

Malaysia jatuh ke tangga 26 dalam laporan EF EPI 2019 sebagai negara yang tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.


Singapura mempertahankan kedudukannya sebagai negara yang mempunyai piawaian tertinggi di Asia, diikuti oleh Filipina, Malaysia, Hong Kong dan India.

Walaupun di tangga ke-26 di peringkat global, Malaysia masih berada di kedudukan ketiga terbaik Asia selepas Singapura dan Filipina.

Lebih separuh dari negara Asia menyaksikan penurunan dalam penguasaan bahasa Inggeris pada tahun ini.

Malah, laporan tersebut mendedahkan tahap bahasa Inggeris di rantau Asia tidak menunjukkan perubahan walaupun banyak pelaburan dibuat di dalam sektor pendidikan awam dan swasta.

Tahun ini, Sri Lanka menunjukkan penurunan drastik dalam tahap penguasaan bahasa Inggeris diikuti Singapura dan Filipina. 

Manakala, Taiwan, Myanmar dan Afghanistan menyaksikan peningkatan yang memberansangkan.

Selain itu, China pula mengorak langkah daripada tangga bawah ke tahap sederhana dalam penguasaan bahasa tersebut.

Kajian melibatkan 2.3 juta responden dari lebih 100 negara dan wilayah.


Tag: Astro, English, Myanmar, Afghanistan, pendidikan, sekolah, Asia, Tahap bahasa Inggeris Malaysia, Bahasa Malaysia, EF English Proficiency Index, EF EPI 2019



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.