Laporan berkaitan situasi yang dihadapi oleh konglomerat kelapa sawit Felda Global Venture (FGV) sudah siap namun Kerajaan masih lagi dalam proses meneliti fakta dalam isu tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau sudah meminta Datuk Seri Idris Jala untuk meneliti pilihan bagi mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah itu dan ia akan diumumkan pada masa yang sesuai.

“Laporan sudah siap. Namun, saya mahu beliau (Datuk Seri Idris Jala) meneliti pilihan penyelesaian,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2017 di Kompleks Kementerian Kewangan di sini.

Antara keputusan yang dicapai dalam mesyuarat tersebut adalah persetujuan supaya Kerajaan Persekutuan menyediakan caruman kepada Kumpulan Wang Rizab Negeri 2019 sebanyak RM290 juta.

Ini bagi membiayai pemberian berdasarkan tahap pembangunan ekonomi, infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP).

Selain itu, Majlis Kewangan Negara juga telah menerima laporan bahawa prestasi perbelanjaan Pemberian Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri (MARRIS) oleh Kerajaan Negeri semakin baik dengan prestasi perbelanjaan tahun lepas pada 103 peratus.