Perdana Menteri menegaskan bahawa laporan siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membuat kesimpulan bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tidak terdapat dalam laporan 106 muka surat PAC itu yang menyatakan beliau mencuri wang daripada syarikat tersebut.

Malah, beliau sendiri telah mengarahkan supaya 1MDB disiasat berikutan kritikan dan dakwaan yang dilontarkan oleh pihak tertentu.

"Saya telah memerintahkan supaya 1MDB disiasat oleh PAC, Bank Negara, polis dan Ketua Audit Negara.

"Ia menjadikan 1MDB sebagai badan yang paling banyak disiasat di negara kita. PAC juga mempunyai wakil dari pembangkang seperti Tan Seng Giaw dan Tony Pua dari DAP," katanya pada sesi dialog bersama rakyat pada Majlis Pelancaran Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2017, di sini malam ini.


Mengulas lanjut, Najib berkata laporan PAC membuat kesimpulan bahawa 1MDB merupakan satu model perniagaan, yang mana ia tidak mempunyai asas yang kukuh kerana suntikan modal diberikan oleh kerajaan hanya RM1 juta sahaja.

"Oleh itu, pinjaman berjumlah RM42 bilion telah dibuat kerana 1MDB mempunyai program yang besar. Bagi jumlah pinjaman RM42 bilion, kadar faedahnya lima peratus setahun atau RM2 bilion setahun," katanya.

Beliau berkata 1MDB menghadapi masalah apabila perancangan untuk menyenaraikan Edra Energy Sdn Bhd digagalkan oleh pihak yang cuba mempolitikkan isu.

"IPO (tawaran awam permulaan) tidak dapat diteruskan, dan dari situ, kita menghadapi masalah aliran tunai ke 1MDB. Namun, Kerajaan telah mengambil langkah-langkah rasionalisasi yang positif.

"Laporan (PAC) itu telah disediakan, dibentangkan dan dimuat naik di internet. Ia adalah laporan 106 muka surat dan saya menggalakkan semua pihak membacanya," kata Najib.

Tambah beliau, laporan PAC juga tidak menyebut duit derma daripada kerajaan Arab Saudi merupakan duit 1MDB.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata dakwaan bahawa Malaysia akan muflis kerana hutang merupakan tuduhan tidak berasas.