Laporan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an diedarkan ke Dewan Rakyat hari ini.

Laporan setebal 400 muka surat itu diagihkan kepada 222 Ahli Parlimen sebelum sidang Dewan Rakyat bermula dan embargo sehingga 1 petang hari ini.

Bagaimanapun, laporan itu tidak tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat untuk dibahaskan.

Bagaimanapun, laporan itu seperti laporan lain yang diagihkan kepada Ahli Parlimen dan dianggap sebagai dokumen rasmi yang dibentangkan di dewan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dijangka mengeluarkan kenyataan media berhubung laporan itu sedikit masa lagi.

‪Pada 15 Februari lalu, kerajaan mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas (PPK) yang diketuai bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan untuk menyiasat dakwaan skandal kewangan terbesar membabitkan kerugian berbilion ringgit dialami BNM dalam perdagangan mata wang asing pada 1990-an dan mengemukakan syornya.‬

‪Pada 21 Jun lalu, laporan akhir PPK mendedahkan wujud kes prima facie dalam kerugian urus niaga mata wang asing (forex) BNM.‬

Pasukan itu juga mendapati jumlah kerugian urus niaga berkenaan jauh lebih besar daripada angka dimaklumkan kepada Parlimen dan Jemaah Menteri lebih 20 tahun lalu.

PPK mengesyorkan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengakhiri isu ini demi masa depan negara.

RCI itu ditubuhkan khas untuk menyiasat skandal forex di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Menteri Kewangan ketika itu.

Siasatan RCI yang dipengerusikan Mohd Sidek yang juga Pengerusi Petronas, dibantu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan, pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Tan Sri Saw Choo Boon dan anggota Institut Akauntan Malaysia K. Puspanathan.