Tutup

Laporan UEC di peringkat akhir, akan diserahkan kepada kerajaan hujung bulan

Laporan UEC di peringkat akhir, akan diserahkan kepada kerajaan hujung bulan
Menurut Eddin Khoo, PPDUEC masih menerima maklum balas termasuk mengadakan perjumpaan bersama Ahli Parlimen pada 16 Oktober ini. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Khas Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) kini dalam peringkat akhir untuk menyiapkan laporan berhubung pelaksanaan sistem itu, sebelum diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), hujung bulan ini.

Bagaimanapun, pengerusinya Eddin Khoo berkata, pihaknya masih menerima maklum balas termasuk satu perjumpaan bersama Ahli Parlimen, pada 16 Oktober ini.
“Jadi pada masa ini, kita dalam stage (peringkat) terakhir dan salah satu usaha utama ialah untuk bertemu dengan Ahli Parlimen, pada masa ini ditetapkan pada 16 Oktober.

“Seperti dinyatakan..kita dah bertemu pelbagai pihak, orang universiti, pentadbiran awam, dan saya rasa, puncak segala hasil pertemuan ini akan berlaku dengan Ahli Parlimen,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Turut hadir di sidang berkenaan ialah dua lagi ahli PPDUEC iaitu Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim dan Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan  Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Datuk Tan Yew Sing.

Dalam pada itu, Khoo berkata, beliau mengambil maklum terdapat lima negeri, dengan Sabah yang terbaharu telah mengambil langkah mengiktiraf pelaksanaan UEC.

Bagaimanapun, perkara itu, katanya, masih terbatas memandangkan dasar begitu harus mempunyai pelarasan di peringkat nasional.

Jelasnya lagi, pengiktirafan di peringkat negeri mempunyai batasan tertentu memandangkan majoriti universiti awam di negara ini masih mengiktiraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam pada itu, beliau, yang juga Pengarah Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional (PUSAKA) berkata, terpulang kepada kerajaan untuk menjadikan laporan itu sebagai dokumen awam.

Namun, Khoo menegaskan, beliau telah meletakkan syarat bahawa hasil dapatan daripada laporan itu harus diakses pihak awam sebelum ketiga-tiga mereka bersetuju menerima pelantikan sebagai ahli PPDUEC, dan berharap agar kementerian menghormati perjanjian itu.


Tag: Sijil Peperiksaan Bersepadu, UEC, Sijil Pelajaran Malaysia, SPM, Eddin Khoo, Dong Zong, Pusaka, KPM, Dr Maszlee Malik



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.