Sepasang kekasih yang melarikan diri sejauh 15 kilometer sebelum berjaya ditahan pihak berkuasa Ahad lalu, masing-masing dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen Alor Gajah hari ini.

Tertuduh Muhammad Haikal Faaiz Ramlan, 25 tahun dan teman wanitanya Nur Aisyah Zakaria,19 tahun, masing-masing dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan atas dua pertuduhan bersama, melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menghalang tugas penjawat awam.

Muhammad Haikal yang turut dihadapkan atas dua lagi pertuduhan berasingan iaitu memandu secara melulu, dihukum penjara dua tahun serta denda RM5,000.

Keputusan itu diputuskan Hakim Ahmad Sazali Omar selepas kedua-dua mereka membuat pengakuan bersalah atas kesemua empat pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka didapati bersama-sama berhimpun di dalam kawasan yang merupakan kawasan tempat jangkitan, bagi maksud untuk melepak dan sengaja menghalang tugas penjawat awam apabila diminta memberhentikan kenderaan dinaiki, dengan melarikan diri.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan semasa berada di persimpangan tiga lampu isyarat Rumbia, Alor Gajah kira-kira jam 7.30 petang, 12 April lalu.

BACA: PKP: Pecut sampai habis minyak, pasangan kekasih ingkar dicekup

Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara kurang dari 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan menghalang penjawat awam, mereka didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan serta boleh dihukum penjara sehingga 2 tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi dua pertuduhan bersama itu, Ahmad Sazali menetapkan hukuman 3 bulan penjara bagi pertuduhan pertama dan penjara 6 bulan bagi pertuduhan kedua kepada kedua-dua tertuduh dan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.

Manakala Muhammad Haikal Faaiz turut dijatuhi hukuman penjara dua tahun dari tarikh tangkap dan didenda RM5,000 atau enam bulan penjara serta hilang kelayakan lesen memandu Kelas D selama dua tahun bermula hari ini, atas pertuduhan memandu kenderaan dengan melulu dan berbahaya yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain kerana melanggar lampu isyarat, sekatan jalan raya dan melawan arus.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Rembia - Kendong, Alor Gajah pada waktu dan hari sama, mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 atau tidak lebih RM15,000.

Tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan memberi kepada diri sendiri dadah berbahaya jenis metamfetamin di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, pada 2.30 petang, 13 April lalu, mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda tidak lebih rm5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan pengawasan selama dua tahun.

Bagi kesalahan itu, Ahmad Sazali membenarkan Muhammad Haikal Faaiz diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Mei untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan patalogi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos dan mereka tidak diwakili peguam.