Latheefa Koya angkat sumpah sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM

Latheefa Koya angkat sumpah sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM
Latheefa mengangkat sumpah lantikan di hadapan Al-Sultan Abdullah di Istana Negara. -Gambar SPRM
KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM ke-14, di hadapan Yang di Pertuan Agong, pada Selasa.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis mengangkat sumpah lantikan tersebut di Istana Negara.
Majlis angkat sumpah tersebut selaras dengan Seksyen 5 (7) Akta SPRM 2009 iaitu setiap Ketua Pesuruhjaya yang dilantik perlu mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 4 Jun lalu, Al-Sultan Abdullah telah memperkenankan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi tempoh dua tahun mulai 1 Jun 2019 hingga 31 Mei 2021.

Turut hadir ke majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Ja'afar Mahad; dan Pengarah Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Nor Azmi Karim.