Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Beebi Koya dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Latheefa yang menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu.

"Pelantikan ini adalah antara langkah pembaharuan penting ke arah proses reformasi institusi-institusi Kerajaan," memetik kenyataan tersebut.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah juga telah memperkenan permohonan Mohd Shukri untuk memendekkan perkhidmatan kontrak beliau lebih awal sebelum tamat pada 17 Mei 2020.

"Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Mohd Shukri yang telah banyak berjasa kepada negara selama beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM," memetik kenyataan itu.