Hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Maldives kini terus diperkukuh dengan pelbagai kerjasama dan perkongsian pintar dalam sektor menguntungkan kedua-dua negara.

Menggunakan kelebihan dalam pelbagai persamaan nilai, agama dan budaya, Kuala Lumpur dan Male mahu kerjasama diplomatik berusia 49 tahun terus diperkukuh bagi membolehkan jalinan rakyat dengan rakyat bertambah erat, sekali gus menjadi tonggak penting hubungan dua hala kedua-dua negara.

Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, atas undangan Presiden Maldives Abdulla Yameen Abdul Gayoom, menyaksikan kedua-dua negara saling menghormati kelebihan masing-masing dan mahu belajar daripada satu sama lain bagi mewujudkan perkongsian pintar yang menguntungkan kedua-duanya.

Meskipun lawatan pertama kali Najib ke negara kepulauan itu singkat, kerajaan Malaysia dan Maldives berjaya memeterai dan memuktamadkan empat perjanjian persefahaman (MoU) bagi kepentingan bersama dan membuka laluan kerjasama lebih luas pada masa depan.

MoU berkenaan adalah mengenai penubuhan Pusat Kebudayaan Maldives dalam bidang kesihatan, memadamkan kebakaran dan menyelamat serta pendidikan tinggi.

Ingin melihat pertumbuhan ekonomi negara masing-masing dapat dilonjakkan menerusi sektor tertentu seperti industri halal dalam sektor makanan, perkhidmatan, kewangan Islam dan pelancongan, Kuala Lumpur dan Male mahu rakyat kedua-dua negara terlibat dalam agenda pembangunan dan ekonomi Malaysia dan Maldives.

Najib berkata Malaysia dan Maldives boleh menerokai industri halal bersama bagi menjana aktiviti ekonomi yang menguntungkan, apatah lagi Malaysia mempunyai kepakaran dengan pensijilan halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sudah pun menjadi penanda aras global.

"Kami (Malaysia dan Maldives) boleh bekerjasama walaupun dengan mengeksportnya ke negara ketiga. Kami juga melihat kepada kewangan Islam memandangkan Malaysia peneraju sektor ini," kata beliau.

Maldives, yang melihat Malaysia sebagai sebuah model ekonomi contoh, mempelawa syarikat-syarikat Malaysia melabur dan terlibat dalam projek-projek pembangunan, sekali gus merancakkan pusat pertumbuhan baharu dan membangunkan negara kepulauan yang terkenal sebagai destinasi pelancongan utama dunia.

Abdullah Yameen mengakui Malaysia adalah antara negara yang banyak terlibat dalam pembangunan sosioekonomi Maldives sejak hubungan diplomatik terjalin pada 1968 dan menzahirkan harapannya untuk melihat lebih ramai pelabur Malaysia merebut peluang yang ditawarkan di negara kepulauan ini.

"Kami juga bersetuju untuk mewujudkan mekanisme yang sesuai bagi menggalakkan kerjasama perniagaan, perdagangan dan pelaburan selain meningkatkan kerjasama antara sektor swasta," kata Presiden Madives itu.

Mengagumi keupayaan Maldives, yang sektor pelancongan merupakan penyumbang utama sumber ekonomi negara, Malaysia ingin belajar bagaimana Maldives melonjakkan namanya di peta dunia berkaitan industri pelancongan dan menjadi destinasi utama pelancong.

Malaysia mahu mempelajari keupayaan Maldives, negara kepulauan Hindi itu, membangunkan pulau-pulaunya sebanyak 1,190 walaupun menghadapi banyak cabaran termasuk logistik.

Daripada jumlah pulau-pulau itu, hanya 195 pulau yang didiami dan kira-kira 90 pulau di Maldives dibangunkan sebagai pusat peranginan pelancong.

Najib melihat ia suatu peluang menguntungkan bagi syarikat-syarikat Malaysia terlibat dalam pembangunan sektor pelancongan di negara paling kecil di Asia ini dari segi penduduk dan keluasan tanahnya. Negara dengan keluasan 90,000 kilometer persegi itu mempunyai jumlah penduduk hampir 450,000 orang.

Malaysia dan Republik Maldives, kedua-duanya negara Islam, juga menjalin hubungan mesra dalam pelbagai bidang lain termasuk pendidikan dan bantuan teknikal serta latihan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang memberi manfaat bersama kepada rakyat kedua-dua negara.

Dalam pembangunan modal insan dan sumber manusia, khususnya dalam bidang kesihatan, Malaysia mahu menyaksikan kedua-dua negara mewujudkan pengiktirafan bersama bagi kursus-kursus bidang perubatan di institusi pengajian tinggi kedua-dua negara, sekali gus memudahkan mereka bekerja.

Pada masa ini seramai 1,700 penuntut Maldives mengikuti pengajian di Malaysia termasuk 65 penuntut bidang perubatan.

Selain itu, Malaysia juga akan memainkan peranan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti di Maldives menerusi Ramsay Sime Darby Health Care, yang sedang dibina.

Lawatan sulung Najib ke negara, yang indah dan romantis suasananya ini, ternyata berjaya mewujudkan hubungan intim kedua-dua negara ke satu tahap lebih tinggi dan masa depan lebih cerah.

-- BERNAMA