Lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud ke Malaysia akan memberi fokus ke arah mengukuhkan hubungan dua hala yang sedia terjalin antara kedua-dua negara di semua peringkat, kata Duta Arab Saudi ke Malaysia Datuk Fahad Abdullah Al-Rashid.

Beliau berkata hubungan diplomatik yang erat antara kedua-dua negara, terjalin pada awal 1960, boleh disifatkan sebagai hubungan persaudaraan.

Beliau berkata hubungan erat yang dibina berasaskan perpaduan agama harus diperkukuhkan bukan sahaja untuk manfaat kedua-dua negara tetapi juga untuk perpaduan dunia Islam keseluruhan.

"Sudah pasti pertukaran perdagangan antara kedua-dua negara akan menjadi satu daripada agenda utama lawatan tetapi perpaduan dan solidariti negara-negara Islam juga tidak kurang penting.

"Kami berharap banyak perjanjian boleh dicapai semasa lawatan ini di semua peringkat," kata beliau kepada Bernama di sini hari ini.

BACA: Hal ehwal haji agenda utama lawatan Raja Salman ke Malaysia

Raja Salman dijadual tiba di Malaysia Ahad ini untuk lawatan negara selama empat hari. Semasa lawatan, baginda akan menemui pemimpin Malaysia, kalangan ahli perniagaan, pelajar dan mufti.

Fahad berkata Malaysia kepakaran teknikal Malaysia semakin diiktiraf di Arab Saudi terutama dalam sistem pengangkutan.

Beliau berkata perolehen kontrak oleh Prasarana Malaysia Berhad bagi operasi dan penyelenggaraan sistem Metro Arafah-Mina semasa musim haji adalah contoh terbaik tentang bagaimana kedua-dua negara mendapat manfaat antara satu sama lain.

"Inilah contoh bagaimana kita bertukar kepakaran dengan negara-negara lain, kita sentiasa menaruh harapan untuk memperoleh manfaat daripada pengalaman mana-mana negara dalam mana-mana sektor, sama ada Malaysia atau negara lain," kata beliau.

Sementara itu, Fahad berkata, beliau menjangka peningkatan jumlah pelancong Arab Saudi ke Malaysia memandangkan Malaysia ialah antara destinasi popular di kalangan rakyat Arab Saudi.

Beliau berkata, persamaan dari segi agama dan budaya Islam mendorong umat Islam dari seluruh dunia untuk melawat Malaysia.

"Kebanyakan pelancong beragama Islam lebih sukakan Malaysia kerana negara ini memupuk nilai-nilai Islami. Begitu juga, kita melihat pelancong Malaysia melawat Arab Saudi untuk berbulan madu mereka di Mekah," katanya.

-- BERNAMA