Lawatan rasmi ke Pakistan: Keganasan, Islamofobia jadi fokus Mahathir, Imran

Lawatan rasmi ke Pakistan: Keganasan, Islamofobia jadi fokus Mahathir, Imran
Isu berkepentingan bersama seperti pembangunan ekonomi dan perdagangan turut mengambil tempat dalam pertemuan hampir sejam oleh kedua-dua pemimpin. - Foto PMO Pakistan
ISLAMABAD: Isu melibatkan usaha mengekang pengganas dan Islamofobia menjadi antara isu teras dalam mesyuarat tertutup dan dua hala antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatnya, Imran Khan di sini hari ini.

Pertemuan yang berlangsung di kediaman rasmi Imran di sini menjadikan tragedi yang meragut 50 nyawa di Christchurch sebagai titik tolak kepada pemimpin Islam di dunia mencari jalan mengekang Islamofobia.

“Kami (Pakistan) juga amat mengagumi pendirian anda (Dr Mahathir) dalam isu-isu yang memberi kesan kepada negara Islam.

“Malangnya, hanya sedikit pemimpin Islam yang menyatakan pendirian untuk menentang keganasan, yang kini impaknya ia telah memberi kesan kepada dunia Islam termasuk Islamophobia yang merebak di dunia barat, selain memberi ancaman kepada umat Islam,” kata Imran membuka sidang media bersama Mahathir.


Tegas Dr Mahathir pula, pemimpin dunia Islam perlu mencari jalan dalam memastikan isu keganasan dan Islamophobia dapat ditangani secara baik.
“Kita perlu mencari cara lain dalam menangani Islamofobia dan saya fikir Pakistan dan Malaysia memahami isu ini.

“Dalam pertemuan saya dengan Imran, kami sentiasa bercakap soal menangani keganasan dan saya fikir kita boleh bekerjasama dalam bidang ini dan kita boleh menambahbaik persepsi terhadap negara Islam.

“Melawan semula tidak bererti dengan cara membunuh,” tegas Dr Mahathir.

Melibatkan isu memerangi rasuah, Dr Mahathir dan Imran sekali lagi memperkukuh pendirian mereka pasca pertemuan di Putrajaya pada November tahun lalu.

“Semua akan meningkat harga jika berlakunya rasuah. Kita perlu bayar jumlah yang besar untuk sesuatu projek. Jadi kos akan meningkat.

“Kadang kala duit dicuri oleh pemimpin dan ini perlu diselesaikan. Apabila kami mengambil alih semula Kerajaan, idea utama adalah mengekang rasuah yang dilakukan oleh rejim sebelumnya,” kata Dr Mahathir.

Bagi Imran pula, kempen menentang rasuah di Pakistan yang dimulakan parti beliau, Pakistan Tehreek-e-Insaf sejak 22 tahun yang lalu perlu diperkukuh dan dipergiatkan.

“Kami percaya bahawa negara tidak miskin, sebaliknya rasuah menyebabkan negara miskin.

“Rasuah boleh melumpuhkan institusi sesebuah negara selain mengambil duit yang menjadi hak kepada rakyat,” katanya.

Isu berkepentingan bersama seperti pembangunan ekonomi dan perdagangan turut mengambil tempat dalam pertemuan hampir sejam oleh kedua-dua pemimpin.

Dr Mahathir melihat, perlu ada undang-undang dan peraturan khusus dalam memastikan proses perdagangan dan perniagaan dua negara berjalan lancar.

“Kita perlu kenal pasti apakah sektor atau produk yang boleh saling kita jual beli. Kita perlu tahu undang-undang dan peraturan selain pelaksanaan berkaitan perdagangan antara dua negara.

“Ini kerana, dengan adanya undang-undang sama, ia memudahkan para pedagang dua negara dalam menjalankan perniagaan mereka,” kata Dr Mahathir.

Tag: Mahathir Mohamad, Islam, Pakistan, Perdana Menteri, undang-undang, Malaysia, keganasan, pengganas, Islamophobia, menteri, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, Islamofobia


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.