Sebanyak 9,359 kenderaan persendiran dan 1,245 kenderaan awam diperiksa oleh Pasukan Task Force Operasi Pematuhan bagi pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) setakat hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Selain itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan tersebut turut memeriksa 546 pasar awam, 927 tempat ibadah, 298 kawasan riadah serta 180 tapak pembinaan.

"Jadi seperti kita (jelaskan) bahawa fokus kepada pemantauan-pemantauan pematuhan ini menyeluruh di pasar raya dan pusat beli-belah tetap tidak terlepas daripada pemanatauan oleh Special Task PKPB," katanya beliau dalam sidang media harian, di sini hari ini.

Semalam, Ismail Sabri berkata, pasukan khas itu terdiri daripada 14 agensi kerajaan yang diberi kuasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pelaksanaan pematuhan PKPB berkenaan.

Selain itu, Ismail Sabri berkata sebanyak 17, 728 premis diperiksa sehingga semalam dan tindakan nasihat juga dilakukan oleh pihak berkuasa.

Katanya, pemeriksaan tersebut melibatkan pasaraya, restoran dan kilang.

"Sebanyak 1,057 pasar raya, 1,743 restoran dan 598 kilang diperiksa.

"Pemeriksaan juga telah dibuat di 325 terminal pengangkutan darat, 37 terminal pengangkutan air dan 12 terminal pengangkutan udara," katanya.