Lebih 10,000 kes kemalangan berpunca guna tayar celup

Lebih 10,000 kes kemalangan berpunca guna tayar celup
Kenderaan terlebih muatan seperti lori turut menyumbang kepada punca kemalangan di negara ini. - Astro AWANI
GEORGE TOWN: Lebih 10,000 kes kemalangan di negara ini adalah berpunca daripada penggunaan tayar celup, menurut Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Beliau berkata statistik yang dikeluarkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) itu adalah satu angka yang mengejutkan apabila jumlah kemalangan yang dicatatkan setiap tahun berpunca daripada penggunaan tayar celup itu.

Katanya, selain itu kenderaan terlebih muatan seperti lori turut menyumbang kepada punca kemalangan di negara ini.

"Saya sangat terkejut dengan perkara ini. Kalau kita bahagikan setahun iaitu 365 hari bermakna sehari 30 kemalangan direkodkan disebabkan tayar celup. Bagi kenderaan terlebih muatan, statistiknya pun begitu tinggi.

"Bagi saya, perkara ini, kita akan ambil serius melalui penguatkuasaan memastikan tiada kenderaan terlebih muatan di jalan raya. Kedua, tayar celup tidak selamat," katanya pada sidang media, di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Baru mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Wilayah Utara LLM sebelum diberi taklimat berkenaan pelaksanaan operasi dan penyenggaraan lebuh raya serta aspek pengurusan dan operasi Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. Turut hadir Ketua Pengarah LLM Datuk Aziz Abdullah.

Baru yang juga Anggota Parlimen Selangau berkata pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan bagi mengurangkan kadar kemalangan di negara ini.

Sementara itu, mengulas mengenai penutupan bangunan utama Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bagi kerja-kerja membaik pulih bangunan warisan itu, beliau berkata kerja-kerja pembaikan dijangka bermula Jun ini dan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

"Kerja-kerja pembaikan ini akan diuruskan oleh JKR (Jabatan Kerja Raya) dengan anggaran kos sebanyak RM17 juta. Kerja-kerja pembaikan merangkumi baik pulih bumbung, dinding dan struktur yang rosak.

"JKR telah menyediakan laporan kerosakan dan pengesyoran pembaikan bangunan adalah di bawah kategori warisan. Kami akan tengok macam mana bangunan ini akan dipulihkan. Bagi saya ini adalah satu perkara yang penting kerana saya juga adalah seorang pencinta warisan," katanya.

Bangunan utama Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ditutup sejak 3 Sept tahun lepas atas faktor keselamatan dan semua mahkamah tinggi di situ dipindahkan ke Bangunan Annex bersebelahan bangunan utama itu.

Sempena lawatan kerja itu, Baru turut dijadual meninjau perjalanan operasi tol di lorong-lorong motosikal di Plaza Tol Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang sejak pemansuhan tol bagi motosikal bermula 1 Jan lalu.

-- BERNAMA


Tag: tayar celup, baru bian, menteri kerja raya, kemalangan, kenderaan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.