Tutup

Lebih 100,000 kanak-kanak di Sabah akan terima suntikan polio

Lebih 100,000 kanak-kanak di Sabah akan terima suntikan polio
Dr. Lee Boon Chye berkata pihaknya akan bekerjasama dengan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan juga NGO (pertubuhan bukan kerajaan) serta kerajaan Filipina supaya keadaan (wabak polio) boleh dikawal daripada terus merebak. - BERNAMA
SUNGAI SIPUT: Lebih 100,000 kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah di Sabah akan diberi suntikan vaksin polio bagi mengekang penyebaran wabak berkenaan daripada berleluasa.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata kesemua kanak-kanak itu tidak kira sama ada warganegara Malaysia atau bukan warganegara akan disuntik vaksin berkenaan secepat mungkin setelah bekalan vaksin tersebut diperoleh bermula minggu ini.
"Mengikut data, tahap pelalian kanak-kanak tempatan di Sabah melebihi 95 peratus, oleh kerana negeri itu mempunyai masalah pendatang asing khususnya mereka yang tidak mempunyai dokumen (pengenalan diri) dan kebanyakannya dari Filipina, jadi ramai kalangan mereka (kanak-kanak) tidak menerima pelalian vaksin.

"Kami akan bekerjasama dengan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan juga NGO (pertubuhan bukan kerajaan) serta kerajaan Filipina supaya keadaan (wabak polio) boleh dikawal daripada terus merebak," katanya.
Dr Lee berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Angkat Sumpah dan Jamuan Makan Malam Jawatankuasa Lembaga Pengelola Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Shing Chung di sini, malam ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua lagi kanak-kanak disahkan dijangkiti virus polio, pesakit kedua dan ketiga direkodkan di Sabah selepas seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran disahkan dijangkiti virus itu.

Noor Hisham berkata dua kanak-kanak lelaki itu yang masing-masing berusia lapan dan 11 tahun merupakan warganegara asing.

Pada 6 Dis lepas, seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi sebuah hospital selepas disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1), merupakan kes polio pertama setelah Malaysia diisytiharkan bebas penyakit itu 27 tahun lepas.

-- BERNAMA