Sejumlah 127 aduan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) daripada pengguna, berkaitan perkhidmatan katering sejak tahun 2014 sehingga September lepas.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata aduan dan tuntutan yang diterima KPDNHEP itu dikategorikan masih rendah, serta hanya berlaku pada musim-musim tertentu terutamanya pada cuti persekolahan.

Beliau berkata nilai tuntutan yang diterima Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) merekodkan 65 pemfailan aduan dengan nilai tuntutan RM415,000 pada tahun 2018, manakala dari Januari sehingga September lalu, TTPM mencatatkan 35 pemfailan aduan dengan nilai tuntutan RM185,000.

"Kesemuanya membabitkan aduan berkaitan antaranya makanan yang tidak berkualiti, makanan tidak mencukupi dan kelewatan menghantar makanan," katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) yang ingin tahu signifikan pelancaran Pelan Tindakan Industri Katering 2020 baru-baru ini, sumbangan industri katering kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan jumlah aduan diterima KPDNHEP berhubung industri katering.

Mengulas lanjut, Saifuddin menjelaskan sumbangan industri katering kepada KDNK adalah sebanyak RM3.6 bilion pada tahun 2010 dan meningkat ke RM5.8 bilion pada 2015.

Tambahnya, statistik juga menunjukkan pendaftaran perkhidmatan katering dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) semakin meningkat dengan 88,192 perniagaan berdaftar, dari tahun 2013 hingga 2019.

"Dengan peningkatan ini, Pelan Tindakan Industri Katering 2020 yang dilancarkan baru-baru ini dilihat sebagai langkah intervensi, untuk mengatasi sebahagian isu yang dihadapi pemain industri katering, pembekal dan seterusnya melindungi hak-hak dan kepentingan pengguna," katanya.

-- BERNAMA