Tiada zon penampan di daerah Pasir Gudang yang menempatkan 2,005 kilang dengan 250 daripadanya merupakan kilang berasaskan bahan kimia.

Mengakui perkara tersebut, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin menegaskan ketiadaan zon penampan menyebabkan terdapat sekolah yang kedudukannya amat dekat dengan kilang-kilang ini.

Justeru, pihaknya yang memandang serius berkenaan isu kelestarian di Pasir Gudang akan mengambil beberapa langkah segera.

"Mengadakan analisis loading capacity dan buffer zones bagi mengurangkan risiko bencana bahan kimia. Mewujudkan sistem untuk menentukan 'carrying capacity' udara di Pasir Gudang dengan menggunakan kaedah 'Air Dispersion Modelling' seperti mana yang diamalkan di negara negara maju.

"Membina stesen pencerapan gas automatik yang dapat memberi amaran bencana kimia yang lebih cekap dan pantas. Ini dapat membantu pihak berkuasa untuk bertindak lebih proaktif.

"Pasir Gudang akan menjadi kawasan industri berat yang pertama yang mempunyai sistem pemantauan kualiti persekitaran otomatik di negara ini. Rekabentuk struktur dan sistem stesen pemantauan ini akan ditentukan berdasarkan kajian yang akan dijalankan," katanya pada sidang media bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di sini hari ini.

Jelas Bee Yin, pihaknya mensasarkan kesemua cadangan tersebut dapat dilaksanakan dengan kadar segera sebelum hujung tahun ini.

Malah, MESTECC juga akan mengadakan satu sesi libat urus bersama industri bahan kimia di Pasir Gudang pada Isnin ini.

Susulan kejadian pelajar sesak nafas di daerah itu sejak 20 Jun lalu, MESTECC menerusi agensinya mengesan kehadiran gas Methyl Mercaptan menerusi bacaan gas yang dibuat baru-baru ini.

Akibat persekitaran udara yang tepu di Pasir Gudang, sebarang anomaly (luar biasa) seperti ini akan memberi kesan kepada kumpulan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan penghidap asthma.

Dua gas lain yang turut dikesan adalah Acrylonitrile dan Acrolein.

Bagaimanapun, ketiga-tiga gas tersebut, tidak dikesan dalam sampel darah dan air kencing pesakit.