Tutup

Lebih 24,000 diberhenti kerja, pengangguran pada kadar 6.8 peratus - Kula

Lebih 24,000 diberhenti kerja, pengangguran pada kadar 6.8 peratus - Kula
Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata daripada jumlah itu, sektor pembuatan mencatatkan kehilangan pekerjaan tertinggi iaitu 7,944 orang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) merekodkan sejumlah 24,600 pekerja telah diberhentikan oleh majikan bagi tempoh Januari sehingga September tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata daripada jumlah itu, sektor pembuatan mencatatkan kehilangan pekerjaan tertinggi iaitu 7,944 orang.
Jelasnya, kerajaan telah mengambil langkah-langkah seperti memperkenalkan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) mulai Januari 2018 sebagai satu bentuk perlindungan keselamatan sosial kepada golongan pekerja yang kehilangan pekerjaan.

“Pihak majikan dikehendaki melaporkan kepada JTK sekiranya ingin melaksanakan pemberhentian kerja.
“Kerajaan telah menetapkan melalui Akta Kerja 1955 supaya majikan memberi keutamaan kepada pekerja tempatan supaya pekerja asing menjadi pilihan akhir dalam menawarkan peluang pekerjaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang ingin tahu langkah untuk mengurangkan pembuangan pekerja dan angka terkini mengikut pecahan industri.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa berdasarkan Survei Tenaga Buruh (STB) 2018, kadar pengangguran belia yang berusia 15 hingga 30 tahun kini berada pada kadar 6.8 peratus.

Sementara itu, Kulasegaran turut mempelawa rakyat di negara ini terutama belia untuk menceburi bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurutnya, analisis kementerian bersama Bank Dunia mengenai “Critical Occupation List” mendapati, dalam tempoh empat hingga lima tahun kira-kira 80 peratus pelajar jurusan akaun berkemungkinan tidak akan mempunyai pekerjaan.


Tag: Ahmad Maslan, Dewan Rakyat, keselamatan, pekerja asing, penganguran, diberhentikan kerja, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.