Lebih 3,000 pelajar sekolah di Pasir Gudang yang terjejas akibat insiden sesak nafas dan muntah-muntah susulan kes pencemaran udara di kawasan itu bulan lepas, menerima sokongan psikologi dan trauma setakat ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Selahuddeen Abdul Aziz berkata pelajar berkenaan melibatkan 50 sekolah di sekitar Pasir Gudang termasuk sekolah yang awal terjejas iaitu Sekolah Agama Taman Mawar.

"Ia melibatkan sekolah rendah dan menengah dan mereka akan menerima sokongan psikologi ini daripada pakar unit psikologi lima hospital termasuk Hospital Sultan Ismail, Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Permai di Johor Bahru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Jom Kenal Ubat, di sini pada Sabtu.

Selahuddeen berkata antara kaedah rawatan yang diberikan kepada kesemua pelajar berkenaan adalah aktiviti interaktif dan kaedah mengatasi trauma.

Beliau berkata sokongan psikologi tersebut merupakan usaha berterusan pihaknya semenjak insiden pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Mac lalu.