Tutup

Lebih 4,000 cawangan francais Malaysia dibuka di 66 negara

Lebih 4,000 cawangan francais Malaysia dibuka di 66 negara
Abdul Halim (empat, kiri) memotong riben sebagai simbolik perasmian NFX Zon Utara, di George Town, 16 Ogos. Turut sama, Mohammad Shukri (tengah). --fotoBERNAMA
GEORGE TOWN: Sejumlah 65 jenama francais tempatan telah membuka kira-kira 4,300 cawangan di 66 buah negara, kata Persatuan Francais Malaysia (MFA).

Setiausaha Agung MFA Mohamad Shukri Salleh berkata lebih kurang 50 peratus daripada cawangan francais tersebut menguasai sektor makanan dan minuman (FB), dengan selebihnya dalam sektor perkhidmatan, peruncitan, pendidikan dan seni.

Beliau berkata MFA mahu mendidik rakyat Malaysia mengenai industri francais domestik bagi menyokong dan mempromosikan jenama francais tempatan, yang sebenarnya adalah lebih baik atau setaraf dengan jenama francais antarabangsa.
"Ramai rakyat Malaysia yang tidak tahu bahawa francais seperti Manhattan Fish Market dan Marrybrown adalah jenama-jenama tempatan," katanya kepada pemberita semasa di pembukaan Ekspo Francais Kebangsaan 2019 (NFX 2019) di sini pada Jumaat.

Mohamad Shukri berkata rakyat Malaysia perlu mempunyai aspirasi yang tinggi ke atas jenama-jenama tempatan dan membantu mempromosi serta menyokong mereka dalam mengembangkan perniagaan mereka di luar negara.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri Industri Antarabangsa, Pembangunan Keusahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain.
Ekspo selama tiga hari itu menampilkan 16 francais tempatan termasuk Coolblog, Manhattan Fish Market, Marrybrown, Fuel Shack, Harta Rovers dan Ar-Rahnu X'Change.

NFX 2019 telah diadakan di Johor Bahru pada bulan Mac dan akan dibuat di Sabah pada November depan.

-- BERNAMA