Lebih 40 jam sesat di Gunung Irau, pencarian pendaki wanita diteruskan

Lebih 40 jam sesat di Gunung Irau, pencarian pendaki wanita diteruskan
Mangsa dilaporkan hilang pada jam 5.30 petang Sabtu apabila menuruni trek Gunung Irau. - Sumber foto: Media sosial
KUALA LUMPUR: Usaha bagi mencari Norfatin Sulaiman, 28, pendaki yang sesat sejak kelmarin di Gunung Irau, Cameron Highlands masih giat dijalankan.

Difahamkan sehingga kini, mangsa sudah hilang lebih 40 jam dalam hutan kawasan gunung berkenaan.

Namun menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhamad Haziq Hazmi, terdapat penemuan positif berhubung pencarian mangsa.

Hasil pencarian semalam, pihaknya menemui kesan tapak dipercayai milik mangsa berhampiran lokasi air terjun.
"Pada 9.47 pagi semalam, mangsa ada menelefon rakannya untuk memberitahu bahawa dia berada di lokasi air terjun dan sungai deras. Namun, perbualan telefon itu tidak lama kerana mungkin bateri telefon sudah sedikit. Itulah kali terakhir rakannya mendengar daripada mangsa.

"Apabila bomba mencari di lokasi berkenaan, kami tidak menemui mangsa tetapi ada menjumpai kesan tapak. Kami percaya ia milik mangsa kerana ia bukan laluan trek biasa dan tidak pernah dilalui oleh sesiapa sebelum ini. Kawasan itu sudah 200 meter tersasar daripada trek Mossy Forest.

"Di kawasan berkenaan juga difahamkan ada beberapa air terjun dan disebabkan oleh bunyi kuat daripada sungai dan air terjun, mungkin mangsa tidak dapat mendengar apabila pihak SAR memanggil namanya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Operasi SAR yang ditangguhkan 9.30 malam tadi bersambung semula 9 pagi ini melibatkan 15 anggota bomba dan penyelamat.

Sejumlah 29 sukarelawan Persatuan Mencari dan Menyelamat Gunung Malaysia (MOSARS) turut menyertai misi.

Mangsa dilaporkan hilang pada jam 5.30 petang Sabtu apabila menuruni trek Gunung Irau.

Difahamkan mangsa bersama 47 pendaki lain yang dibahagikan kepada lima kumpulan pendaki.

Namun separuh perjalanan, rakan mangsa hanya menyedari bahawa mangsa tidak bersama dalam kumpulan.

Pada ketinggian 2,110 m, Gunung Irau merupakan puncak tertinggi di Cameron Highlands. Suhu di dalam hutan boleh mencecah di antara 13 hingga 17 darjah Celcius.