Lebih 40 pelajar tahfiz Institut Al-Quran Darul Aman (Iqdar) di sini, mengalami keracunan makanan, disyaki berpunca daripada nasi Arab yang disumbangkan oleh sebuah restoran untuk moreh selepas tarawih, malam tadi.

Timbalan Pengarah Iqdar, Muhammad Yusni Yaakob berkata pelajar berumur 18 hingga 21 tahun itu menunjukkan tanda keracunan kira-kira 8 pagi tadi apabila ada antara mereka tidak menghadiri sesi kuliah.

"Dianggarkan 10 hingga 15 pelajar yang mengalami simptom serius telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah oleh pensyarah untuk mendapatkan rawatan manakala 36 lagi pelajar dirawat pasukan perubatan yang datang ke pusat tahfiz.

"Sebanyak 150 bungkus nasi Arab berlauk ayam dan kambing dihantar ke pusat tahfiz pada 11 malam. Kebanyakan pelajar yang makan nasi tersebut pada waktu sahur mengalami simptom yang serius berbanding pelajar yang makan pada waktu moreh," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Muhammad Yusni berkata pihaknya tidak mengetahui mengenai pemberian makanan tersebut dan hanya menyedarinya selepas mendapat aduan daripada pelajar yang mengalami simptom muntah dan cirit-birit.

"Pemberian ini di luar pengetahuan, jadi selepas ini setiap pemberian makanan akan mengikut prosedur bagi memastikan perkara ini tidak berulang lagi," katanya.

Sementara itu, pelajar Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Muhammad Afham Anuwar, 20, berkata dia mula berasa sakit perut pada waktu sahur selepas makan nasi berkenaan pada 2 pagi.

"Masa makan nasi semuanya ok, tidak berlendir dan tidak berbau. Pada sesi pembelajaran, apabila rasa sakit perut, saya terus maklumkan pada pensyarah dan selepas itu baru tahu ramai lagi rakan-rakan yang mengalami simptom sama," katanya.

-- BERNAMA