Sejumlah 42,451 kes jenayah melibatkan warga asing direkodkan dari tahun 2016 hingga Ogos tahun ini, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kementerian itu menyebut daripada jumlah berkenaan, antara kes jenayah yang dicatatkan ialah curi dengan 12,647 kes, diikuti pecah rumah dan curi (11,862 kes) dan curi motosikal (4,822 kes).

"Namun, dengan usaha berterusan pihak Polis Diraja Malaysia, statistik jenayah indeks secara keseluruhan yang melibatkan warga asing menunjukkan penurunan iaitu dari 13,110 kes pada tahun 2016 kepada 11,441 kes pada tahun 2017 dan 10,751 pada tahun 2018," menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web Parlimen, pada Selasa.

Ia bagi menjawab soalan Ahmad Amzad Mohamed@Hashim (PAS-Kuala Terengganu) yang ingin tahu statistik jenayah dilakukan warga asing di Malaysia mengikut jenis-jenis jenayah.

Menurut KDN, operasi yang diadakan di tempat-tempat dikenal pasti sebagai sarang sindiket dari semasa ke semasa selain rondaan secara berjalan kaki, bermotosikal (Unit Rondaan Bermotosikal) dan berkereta (Mobile Patrol Vehicle) di kawasan tumpuan ramai berjaya memastikan warga asing tidak terlibat dalam jenayah.

"Ini termasuklah kehadiran anggota polis berpakaian uniform di kawasan-kawasan yang strategik secara langsung sebagai deterrent kepada penjenayah untuk tidak melakukan jenayah," katanya.

-- BERNAMA