Seramai sembilan staf Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) terpaksa 'menjinakkan' sejumlah 62 ekor gajah yang 'merempuh' masuk ke beberapa ladang dan kebun kecil di kawasan Ulu Segama di sini sejak minggu lalu sehingga hari ini.

Pengarah JHLS, Augustine Tuuga berkata, kawanan gajah ini pula dilaporkan berpecah kepada lima kumpulan kecil.

"Hal ini menyebabkan kesukaran menghalau haiwan tersebut kembali ke Hutan Simpan Kawag ataupun Hutan Simpan Ulu Segama.

"Bilangan kakitangan bertugas untuk operasi ini hanya seramai sembilan orang dan dibantu kakitangan ladang." katanya ketika dihubungi, hari ini.

Augutine berkata, ladang-ladang yang terlibat dengan serangan gajah ialah Ladang Transkina, Ladang Agro Chem dan juga pekebun-pekebun yang terletak di antara Hutan Simpan Kawag dan Hutan Simpan Mesuli.

Lahad Datu

"Berdasarkan laporan, gajah masuk ke dalam ladang kerana pihak ladang sedang menebang pokok sawit tua yang gajah gemar makan.

"Dalam pada itu, gajah-gajah ini juga dilaporkan berada di Hutan Simpan Mesuli pada waktu siang dan masuk ke ladang pada waktu petang hingga waktu Subuh," katanya.

Menurutnya, petugas mengguna cara menghalau dengan menggunakan bunyi tembakan senapang serta menghidupkan unggun api.

Tambah beliau, kenderaan dan jentera berat pihak ladang juga digunakan untuk menghalau.