Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia berkata lebih 70,000 kilometer persegi kawasan dasar laut di selatan Lautan Hindi telah diliputi dalam pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370.

Agensi itu berkata kawasan pencarian yang disasarkan ialah 120,000 kilometer persegi

Mengenai pencarian di dasar laut, ia berkata kapal Fugro Discovery telah tiba di kawasan pencarian semalam dan Fugro Equator dalam pelayaran ke pelabuhan Freemantle, Australia untuk dapatkan semula bekalan.

"Keadaan cuaca terus menyukarkan operasi mencari tetapi keadaan dijangka bertambah baik pada bulan-bulan akan datang," menurut kenyataan JACC hari ini.

Ia juga meramalkan bahawa keadaan cuaca tidak baik di selatan kawasan pencarian dalam beberapa hari akan datang.

Penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac tahun lepas ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Pesawat Boeing 777 itu belum dijumpai walaupun selepas operasi mencari dijalankan secara menyeluruh di selatan Lautan Hindi iaitu lokasi penerbangan pesawat itu dipercayai berakhir selepas melencong dari laluan asal.