Lebih 8.2 juta permohonan BR1M diterima sehingga 14 Februari

Lebih 8.2 juta permohonan BR1M diterima sehingga 14 Februari
KUALA LUMPUR: Sebanyak 8,277,391 permohonan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) 2017 diterima sehingga 14 Februari lalu, ujar Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Jumlah itu meningkat berbanding 7,154,343 permohonan yang diterima pada 2016.

"Permohonan itu memang banyak, tetapi tidak semua permohonan itu semestinya diluluskan.Jadi, permohonan itu dalam proses kelulusan atau tidak," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Aplikasi Mobile Pemberian BR1M di Dewan Hasil, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini, hari ini.

BACA: Simpan sedikit BR1M anda - Othman
BACA: 
Lebih 5 juta permohonan BR1M 2017 diluluskan setakat ini - PM Najib

Aplikasi Mobile Pemberian BR1M membantu pemohon menyemak status permohonan dengan lebih cepat dan tepat di telefon pintar masing-masing.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan jumlah pemohon kategori mereka yang belum berkahwin mengalami peningkatan.

"Jumlah pemohon bujang itu meningkat sebab mereka yang bujang ini mereka yang baharu mula bekerja. Jadi, kalau dia gaji RM2,500 atau RM2,800 misalnya, mereka layak mendapat BR1M. Jadi, mereka yang graduan ini kita anggarkan gaji mereka mungkin antara RM2,800 ke RM3,000, sebab itu angka pemohon itu meningkat," jelas beliau.

Dalam pada itu, Johari menegaskan, kerajaan masih berkemampuan untuk memberikan BR1M walaupun berlaku peningkatan jumlah permohonan bantuan berkenaan.

"Setakat hari ini, kerajaan masih berkemampuan untuk beri bantuan ini sebab bantuan ini bukan kita beri kepada semua orang, sebaliknya targeted group, maknanya B40 ke bawah dengan tujuan apabila kita buat rasionalisasi subsidi, GST, ia ada kesan sikit pada ekonomi, jadi ia boleh membantu sedikit," tambahnya.

Pembayaran BR1M secara baucar bermula 18 Febuari lalu, manakala pengkreditan ke akaun penerima akan dilaksanakan pada 22 Febuari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Bajet 2017 mengumumkan pemberian BR1M kepada isi rumah dalam senarai e-Kasih dan berpendapatan bulanan di bawah RM3,000 akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,200.

Bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000, pemberian BR1M akan dinaikkan daripada RM800 kepada RM900.

Bagi individu bujang berpendapatan di bawah RM2,000, BR1M akan dinaikkan daripada RM400 kepada RM450.