Lebih 80 peratus daripada 27 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar ibu negara dikenal pasti antara sarang penagih dadah.

Kebanyakan masalah dadah dipercayai berpunca daripada gejala sosial kesan daripada kepadatan penduduk di sesuatu kawasan.

Ops Bah, operasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan AADK bersama beberapa agensi penguatkuasaan lain, awal pagi Khamis menahan 34 penagih di kawasan PPR.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah AADK, Izhar Abu Talib, ia menjadikan jumlah keseluruhan tahanan di PPR kepada 119 orang sepanjang lapan siri Ops Bah tahun ini.

"Kebanyakan PPR di Wilayah Persekutuan ni lebih kurang 80 PPR ini kebanyakannya menghadapi masalah penyalahgunaan dadah di kalangan penduduk.

Ini berpunca daripada kepadatan penduduk di suatu tempat sehingga melibatkan banyak gejala sosial yang negatif berlaku penagih dadah berlaku, katanya selepas mengikuti Ops Bah siri ke-26 yang dilakukan di lokasi berasingan di sini.

"Trend masalah penagihan dadah dan gejala sosial di kawasan PPR ini saya rasa merupakan satu keadaan yang kritikal yang mana kita terpaksa mengambil satu tindakan yang drastik.

Ia terutama sekali daripada Agensi Penguatkuaasa dan Pihak Berkuasa Tempatan khususnya DBKL supaya ia dapat melihat dari segi keselesaan kesejahteraan dan keselamatan sesuatu PPR tersebut", katanya di sini.

Selain PPR, Ops Bah turut memeriksa beberapa pusat hiburan di sekitar ibu negara yang melibatkan lebih 410 anggota penguatkuasaan pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Seramai 208 orang telah diperiksa sepanjang operasi yang dijalankan selama tiga jam itu.

Dalam operasi bersama itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut mengambil tindakan terhadap 52 individu yang melakukan kesalahan menyalahi syariah.