Lebih 84,000 pesalah trafik berdepan risiko disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana gagal melunaskan bayaran kompaun kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata daripada 98,850 saman yang dikeluarkan bermula 1 September 2018 hingga 21 Januari 2019, hanya 10,876 telah diselesaikan.

Ujarnya, sejumlah 39,358 pesalah lalu lintas telah disenarai hitam dan dikeluarkan waran tangkap bagi tempoh November hingga Disember 2018.

"Kita bagi tempoh 60 hari, jadi yang 84,974 yang tak bayar ini dah melebihi 60 hari.

"JPJ sudah ambil alih operasi Awas sepenuhnya bermula 1 September tahun lepas, kita akan ambil tindakan sewajarnya. Tak boleh, ini memang kehendak undang-undang," kata Shaharuddin.

Shaharuddin berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian Stesen Jabatan Pengangkutan Jalan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol (arah selatan) pada Jumaat.

Turut hadir, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail dan Pengarah JPJ Perak, Mohd Zawawi Zakaria.

Katanya lagi, pihaknya telah memulakan pendakwaan pertama kes Awas di mahkamah bermula 7 November 2018 di Mahkamah Gurun, Kedah, Ipoh, Sungai Siput dan diikuti 8 November di Mahkamah Sungai Petani, Sungai Jawi, Taiping dan Tapah.

Sehingga kini terdapat 45 kamera Awas di seluruh Semenanjung Malaysia, 17 daripadanya diletakkan di lebuh raya dan selebihnya di jalan-jalan persekutuan.

Ia berfungsi mengesan pesalah lalu lintas yang memandu melebihi had laju yang ditetapkan dan gagal mematuhi lampu merah pada isyarat lalu lintas.

Stesen JPJ di R&R Gunung Semanggol (arah selatan) adalah yang kedua dibuka di Lebuhraya Plus selepas Stesen JPJ Dengkil (arah selatan), tahun lalu.