Kerajaan disaran untuk menarik semula pemohonan semakan status Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sekiranya tidak mempunyai dokumen yang kukuh, sebaliknya memilih menyelesaikan masalah ini secara mediasi.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia, Mohd Hazmi Mohd Rusli menjelaskan surat yang menyatakan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor menyerahkan Batu Puteh kepada Singapura pada tahun 1953 adalah satu bukti yang sukar disangkal.

"Walaupun Malaysia mempunyai bukti yang kukuh sekalipun, namun dalam undang-undang antarabangsa menekankan aspek lain iaitu penguasaan efektif sebagai simbol kedaulatan.

"Sebelum ini Singapura memang mempunyai penguasaan efektif dan kuasa terhadap kawalan rumah api Horsburgh di Batu Puteh," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini pada Rabu.

Selain itu, sekiranya Malaysia gagal lagi dalam perebutan status Batu Puteh maka negara perlu menanggung malu disamping menghadapi perasaan tidak puas hati masyarakat terhadap Singapura.

"Lagi pula kes ini dibawa oleh kerajaan terdahulu yang diketuai oleh Tan Sri Mohamed Apandi Ali ketika itu. Siapa yang akan mengetuai kes ini sekiranya dibawa ke mahkamah negara pada bulan hadapan?" ujarnya.

Tambah Mohd Hazmi, sekiranya Malaysia yakin dengan kekuatan hujah dan dokumen, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk membuat pemohonan tarikh baru ke mahkamah antarabangsa yang dijadualkan pada bulan hadapan memandangkan negara belum bersedia.

"Namun, Tubir Selatan boleh kita pertimbangkan untuk diselesaikan secara perbincangan dan mediasi. Lokasi Tubir Selatan yang dekat dengan Batuan Tengah seharusnya menjadi milik kita," katanya.

Terdahulu, ICJ telah membuat keputusan untuk menyerahkan kedaulatan ke atas Batu Puteh atau Pedra Branca pada Singapura.

ICJ bagaimanapun tidak membuat keputusan mengenai kedaulatan ke atas Tubir Selatan (South Ledge).

BACA: Interpretasi penghakiman Batu Puteh: Laut China Selatan mungkin jadi wilayah Singapura?

BACA: Singapura tidak akan biarkan isu Pulau Batu Puteh jejas hubungan dengan Malaysia