Isu seekor babi tersesat masuk ke dalam Masjid Sungai Pelong di Sungai Buloh baru-baru ini menjadi viral di laman sosial, apatah lagi apabila insiden itu menyebabkan keseluruhan karpet masjid perlu ditukar.

Malah, insiden babi memasuki sebuah pusat ibadah umat Islam itu menjadi perbualan panas orang ramai kerana ianya merupakan isu yang sensitif.

Tidak kurang hebatnya pula kisahnya apabila di sebuah masjid di Sungai Siput, kelibat tiga lelaki yang memecah masuk masjid untuk mencuri wang tabung untuk pembangunan dan amal jariah masjid tersebut.

Masakan tidak, ketiga-tiga suspek itu juga dilabel sebagai "lebih teruk dari babi" oleh netizen yang berang dengan tindakan mereka yang turut 'meluangkan masa' menconteng tiang masjid dengan lukisan lucah.

Gambar lucah yang dilukis oleh suspek di tiang sebuah masjid di Sungai Siput.
Ironinya, kedua-dua kes berlaku pada hari yang sama iaitu pada Selasa lalu.

Seorang penduduk, Adimus Putra Yamin, 27 tahun, memberitahu Astro AWANI, sebuah masjid di Felda Lasah juga dipecah masuk dua minggu lepas dan sekali lagi pada Selasa.

"Malah keesokannya, berlaku kes sama di Masjid Kampung Simpang Temin pula. Difahamkan, suspek itu masuk sekitar hampir solat Subuh.

"Lagi buat orang marah apabila mereka conteng tiang masjid di Kampung Simpang Temin dengan lukisan lucah. Sudahlah mencuri, lukis pula bukan-bukan, mana orang tak marah.

"Kecoh babi masuk masjid tak mengapa sebab tiada akal, tapi ini kes hati syaitan masuk masjid sebab nak pecah tabung curi duit masjid," katanya ketika dihubungi pada petang Khamis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supt Rozemi Ismail mengesahkan menerima laporan tentang insiden berkenaan.