Setiap pasar tani kebiasaanya akan menyumbang lima sehingga 10 peratus lebihan jualan mereka untuk program Food Bank Malaysia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perbincangan sama ada penyerahan sumbangan sebelum atau selepas pasar tani akan dilakukan dengan penjual berkenaan.

"Tadi saya bincang dengan Pengarah Fama, dalam anggaran biasa setiap pasar tani akan mempunyai lebihan lima ke 10 peratus daripada barangan jualan mereka.

"Kita ada dua pilihan, kita akan bincang, mereka tahu corak jualan mereka bagaimana dan mereka boleh agih pada waktu awal atau akhir

"Lebih satu tapak pasar tani, anggaran 500 kilogram, itu dari dua pasaraya tetap dan ia tetap lumayan.Percayalah sumbangan itu akan sampai ke penerima," katanya semasa sidang media selepas melancarkan Program Food Bank Malaysia @ Pasar Tani, di sini pada Jumaat.

Program itu akan dimulakan di pasar tani terpilih dengan Selangor dan Wilayah Persekutuan akan menjadi projek perintis sebelum diluaskan ke seluruh negara.

Konsep program itu adalah menyelamatkan lebihan makanan yang masih boleh dimakan melalui pengumpulan daripada penyumbang iaitu pasaraya, pengilang, pengusaha makanan, hotel dan syarikat korporat.

Dalam pada itu, kata Saifuddin, kementeriannya mempunyai bajet sebanyak RM3 juta untuk program itu yang merangkumi peralatan sejuk beku.

Tambahnya, sehingga kini, program itu sudah memasuki 12 daripada 20 sasaran kampus universiti awam di seluruh negara untuk keperluan pelajar.

Sumbangan itu diletakkan di pantri khas di setiap universiti yang terlibat.