Penantian seluruh rakyat Kelantan untuk memandu di atas sebuah lebuh raya di negeri itu kini makin hampir menjadi kenyataan.

Ia susulan pembinaan fasa pertama projek berkenaan kini berjalan lancar tanpa sebarang kelewatan malah tender untuk pakej 2B melibatkan laluan sepanjang 6.2 kilometer dari Ketereh ke Kok Lanas juga akan dibuka mulai April.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pakej berkenaan yang melibatkan kos RM200 juta sudah mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan.

‘’Pakej 2B dari Ketereh ke Kok Lanas selesai dan kita harap akan siap dalam tempoh dua tahun lagi.

‘’Lebuhraya Rakyat sepanjang 40 kilometer dari Machang ke Kuala Krai, kita difahamkan Kerajaan Negeri hanya akan bina 10 kilometer sahaja, sementara baki 30 kilometer belum ada apa-apa dan kami sedang berusaha,’’ katanya selepas meninjau tapak projek 1B di Kadok, dekat sini, hari ini.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata pakej 1B, dari Pasir Hor ke Kadok sepanjang 10.5 kilometer kini telah mencapai tahap 75 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya September depan.

Sementara pakej 2A pula melibatkan laluan Kadok ke Ketereh sejauh 7 kilometer kini sudah 50 peratus siap.

Pakej 1B, 2A dan 2B merupakan fasa pertama projek lebuh raya Kota Bharu–Kuala Krai sepanjang 73 kilometer dengan kos keseluruhan mencecah RM1.8 bilion.

Menurut Mustapa lagi, selain pakej 2B, Kerajaan Pusat turut meluluskan projek tambahan pembinaan jambatan enam lorong sepanjang 3.5 kilometer dari Tunjong ke Pasir Hor.