Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai bagi pakej 1B Pasir Hor ke Kadok mula dibuka kepada kenderaan bermula hari ini.

Pembukaan itu sekali gus dapat mengurangkan kesesakan khususnya sempena musim perayaan Aidiladha Rabu ini.

Dalam satu kenyataan, pembinaan lebuh raya empat lorong dari Batu Empat Padang Enggang ke Perol siap sepenuhnya dan akan dibuka secara kekal kira-kira jam 10 pagi.

Laluan itu sebelum ini dibuka sementara bagi mengurangkan kesesakan pada Aidilfitri lalu sebelum ditutup bagi menyiapkan kerja-kerja terakhir.

Terdahulu sebelum ini, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM5.3 juta bagi pelaksanaan pembinaan susur keluar Pakej 1B.

Pakej 1B yang melibatkan laluan sejauh 10.5 kilometer telah siap kira-kira setahun lalu namun belum dapat digunakan ekoran ketiadaan susur keluar di laluan itu.

Ketika ini, pakej 2A melibatkan laluan Kadok-Ketereh sejauh tujuh kilometer sudah melepasi 50 peratus pembinaan manakala Pakej 2B membabitkan laluan Ketereh-Kok Lanas dalam proses pembinaan di peringkat awal.

Dalam pada itu, rata-rata pengguna jalan raya menyambut baik pembukaan lebuh raya kerana secara tidak langsung mengurangkan kesesakan khususnya bagi musim perayaan.

Bagi pekerja swasta, Amirul Amin Abdullah, 40 tahun berkata, pembukaan itu sangat ditunggu-tunggu walaupun jaraknya hanyalah 10 kilometer sahaja.

"Seperti yang diketahui umum setiap kali musim perayaan maka jalan di Kelantan ini sesak, dengan adanya lebuh raya ia sedikit sebanyak menyuraikan laluan khusnya di laluan Kota Bharu Kadok," katanya.