Projek Lebuhraya Pan Borneo yang kini sedang dalam proses pembinaan perlu disiapkan menjelang 2024 seperti yang ditetapkan atau sebelum menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman berkata rakyat di Sabah sudah lama menggunakan jalan raya yang tidak sempurna dalam rutin seharian masing-masing.

"Saya difahamkan kebanyakan jalan-jalan di negeri ini tidak dibaiki sehingga siapnya Lebuhraya Pan Borneo itu, contohnya jalan sehala Telupid-Sandakan. Jalan itu merupakan jalan utama yang digunakan oleh beratus kenderaan pada setiap hari dan paling menyedihkan banyak kes kemalangan melibatkan kematian berlaku di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada Isnin.

Saddi juga menggesa supaya kontraktor dari Sabah akan terus diberi peluang untuk terlibat dalam pembinaan projek lebuh raya itu meskipun ia telah diletakkan di bawah kerajaan Persekutuan.

"Saya menyeru agar pihak kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa memantau kerja-kerja pembinaan lebuh raya itu untuk memastikan ia mencapai tahap kualiti bertaraf dunia seperti yang diharapkan oleh rakyat selaku pembayar cukai," katanya.

-- BERNAMA