Polis menahan seorang lelaki berhubung kes mencabul seorang kanak-kanak berusia 9 tahun di tandas Surau Al Ikhlas Zon Mawar, dekat Sungai Petani.

Suspek berusia 31 tahun telah datang menyerah diri di Balai Polis Bedong pada jam 3 petang Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supritenden Shamsudin Mamat memaklumkan, suspek berjaya ditangkap anggota polis Bedong dan telah di bawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

Sebelum itu polis telah melakukan dua serbuan ke atas rumah suspek di Bedong, bagaimanapun suspek tiada di rumah dipercayai melarikan diri sejak tersebar video viral perlakuannya.

Video perlakuan keji suspek berjaya dirakam Kamera Litar Tertutup (CCTV) Surau Al Ikhlas Zon Mawar, dekat Sungai Petani pada 13 Disember lalu.

BACA: Peluk dan raba kemaluan budak perempuan di surau, lelaki berkulit gelap diburu

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang ketika itu mangsa bersama sepupunya sedang bermain di taman permainan bersebelahan surau berkenaan.

Suspek bertindak memanggil mangsa ke tandas surau sebelum memeluk dan menyentuh kemaluan mangsa.

Susulan itu, mangsa bertindak memaklumkan kejadian itu kepada bapanya.

Ekoran itu bapa mangsa meminta bantuan pihak surau untuk memeriksa CCTV di surau terbabit.

Katanya, rakaman CCTV mendapati lelaki bertubuh sederhana dan berkulit gelap itu memberhentikan motosikal berdekatan tandas surau sebelum memanggil dan mencabul mangsa.

Beliau berkata, mangsa meronta dan berjaya melepaskan diri dan suspek kelihatan segera meninggalkan tempat kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Video kejadian yang berdurasi 1.39 minit itu juga tular di media sosial sejak semalam sehingga menimbul kemarahan nitizen yang mengharapkan supaya suspek segera ditangkap.