Akibat tidak tahan si isteri pertama sering menelefonnya meminta menghantar motosikal sambil berleter, seorang suami hilang sabar hingga bertindak memukul isterinya itu.

Tertuduh yang juga seorang tukang gunting dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana mendatangkan kecederaan di muka dan sakit pada bahagian kepala oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini.

Hukuman dijatuhkan Majistret Mohd Azrul Hasyim Mohammad selepas tertuduh, Harun Talib, 55, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada jam 11.15 malam 28 Oktober lepas di sebuah rumah di Kota Bharu dikatakan hilang sabar dan bertindak mengasari isteri pertamanya dengan sengaja sehingga menyebabkan kecederaan di bibir mangsa.

Tertuduh dikatakan bertindak demikian kerana berang isteri pertamanya menelefonnya berkali-kali dan meminta supaya dihantar motosikal kerana pada malam kejadian merupakan bukan gilirannya bermalam di rumah mangsa.

Tertuduh yang pulang kemudiannya bertindak memukul mangsa berkali-kali di bahagian kepala dan muka hingga cedera.

Tertuduh disabitkan kesalahan dan dihukum di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 326 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda tidak melebihi RM2,000.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin.