Seorang bapa mengaku tidak salah atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak tirinya sejak tiga tahun lalu di dua Mahkamah Sesyen Selayang berasingan pada Rabu.

Tertuduh, Mohamad Johari Irun, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan yang sama dibacakan dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen 1, Syafeera Mohd Said dan Hakim Mahkamah Sesyen 2, Maziah Joary Tajuddin.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Johari yang bekerja sebagai pemandu lori didakwa melakukan amang seksual fizikal pada Mei 2017 jam 1 pagi, dengan menggosok dan meraba kemaluan mangsa di sebuah apartmen di Bandar Baru Selayang.

Tertuduh kemudian didakwa melakukan perbuatan berulang terhadap mangsa dengan meraba bahagian belakang badan anak tirinya berusia 16 tahun, pada jam 1 pagi, Februari dua tahun lalu di lokasi yang sama.

Dalam pertuduhan seterusnya, tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan berkenaan pada jam 6 pagi, sekitar April 2018 di sebuah lokasi berlainan di Batu Caves Selayang, dengan meraba dan menggosok punggung mangsa.

Tertuduh sekali lagi didakwa dalam pertuduhan melakukan perbuatan berulang kepada mangsa pada jam 1 pagi juga di sebuah rumah di Batu Caves Selayang, dengan cara menggosok punggung dan kemaluan mangsa.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan dihukum sebat serta tambahan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan hendaklah dihukum dengan dua sebatan dan melakukan kesalahan di bawah seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual 2017.

Tertuduh juga boleh dihukum dibawah seksyen 14 Akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 16 dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama.

Pendakwaan dikendalikan,Timbalan Pendakwaraya, Arunjothy M.Selvaraju dan Nurul Ain Shafie.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Disember ini.