Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas empat pertuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap dua beradik.

Tertuduh, Muhammad Firdaus Wong Abdullah, 44, berdepan satu pertuduhan merogol, dua pertuduhan meliwat dan satu pertuduhan melakukan kesalahan amang seksual fizikal terhadap dua beradik itu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa di bawah seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa berusia tujuh tahun.

Kesalahan itu dilakukan antara jam 8.30 malam hingga 10 malam di sebuah rumah di Batu Burok, Kuala Terengganu pada tahun lalu.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan mangsa.

Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama di sebuah rumah di bandaraya ini, antara jam 8.30 malam hingga 10.30 malam, pada 6 Febuari lalu.


Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 .

Selain itu tertuduh juga didakwa mengikut seksyen 377c Kanun Keseksaan kerana meliwat adik lelaki mangsa berusia lima tahun di sebuah rumah di bandaraya ini, antara jam 8.30 malam hingga 10.30 malam, pada 6 Febuari lalu.

Bagaimanapun tertuduh hanya membuat pengakuan salah bagi pertuduhan melakukan kesalahan amang seksual fizikal manakala dia memohon untuk dibicarakan bagi tiga lagi pertuduhan.