Kegembiraan dua sahabat mencari kepah di pantai Kuala Muda, Penaga, Pulau Pinang berakhir tragedi apabila salah seorang dari mereka dikhuatiri lemas dalam kejadian petang Rabu.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa Mohamed Zulfadhli Mohamed Johari berumur 22 tahun bersama rakannya, seorang remaja berusia 13 tahun dihanyutkan arus ketika leka mencari kepah.

Mangsa tidak berjaya menyelamatkan diri manakala rakannya berjaya diselamatkan nelayan yang menyedari kejadian berkenaan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.03 petang berhubung kejadian malang itu.

Berdasarkan maklumat, dua lelaki berkenaan sedang mencari kepah berhampiran pantai berkenaan sebelum mereka tiba-tiba dihanyutkan arus.

Setakat ini, kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sedang dilakukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda dengan dibantu oleh nelayan serta penduduk setempat.

Selain itu, anggota dari unit Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda turut serta dalam operasi SAR berkenaan.

Sebuah Pos Kawalan Bomba (PKB) juga turut dibuka di lokasi kejadian bagi memantau operasi yang dijalankan.

Mangsa yang selamat dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan lanjut manakala operasi SAR mencari mangsa yang hilang masih diteruskan.