Seorang lelaki yang dipercayai menceroboh masuk ke asrama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan mencuri pelbagai barangan milik pelajar di sini berjaya ditahan polis minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata suspek diberkas di kampungnya di Baling, Kedah susulan laporan polis yang dibuat warden asrama MRSM Felda pada 23 November lalu.

Turut dirampas daripada lelaki itu beberapa barangan dipercayai hasil curi.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi, suspek dipercayai memecah masuk asrama pelajar dengan memotong pagar di bahagian belakang blok asrama.

"Hasil maklumat dan risikan telah berjaya menangkap suspek di hadapan sebuah kedai di tepi Jalan Charok Semeliang pada pukul 4 pagi, Jumaat lalu,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Jumaat.

Ketika ditahan, suspek warga tempatan itu ditemukan bersama 86 unit telefon bimbit, enam unit komputer riba, lima kad pengenalan dipercayai milik pelajar, satu kad pelajar, dan lima beg hitam.

Wan Kamarul Azran berkata siasatan terhadap suspek mendapati dia melakukan jenayah secara berseorangan.

Lelaki berusia 33 tahun itu aktif mencuri sejak beberapa bulan lalu di MRSM Lenggong; MRSM Pasir Salak, Kampung Gajah dan MRSM Felda Trolak, Sungkai dengan menceroboh masuk asrama ketika pelajar sedang tidur.

Malah, katanya, suspek turut mengaku menggunakan aplikasi navigasi bagi mengenal pasti lokasi MRSM yang terdapat di negeri ini.

Tambahnya, suspek yang mempunyai kemahiran membaiki telefon bimbit dan komputer riba itu juga mengaku telah menjual sebahagian alat telekomunikasi dan komponen dalamannya.

"Pemeriksaan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau bersabit kes jenayah curi," ujarnya.

Suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi dalam bangunan.