Seorang lelaki ditahan reman tiga hari bermula hari ini hingga Khamis bagi membantu siasatan berhubung kes menghina Islam berkaitan kematian Mursyidul Am Pas, Datuk Haron Din.

Lelaki yang juga ahli perniagaan berumur 69 tahun itu didakwa membuat kenyataan berunsur penghinaan di laman sosial Facebook miliknya yang menggunakan nama 'Ong TK'.

Perintah reman dikeluarkan penolong pendaftar, Faridatul Farrah Mohd Shukri.

Permohonan reman dibuat oleh pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, ASP Leong Yew Chew di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Lelaki berkenaan ditahan di Menglembu, Ipoh, Perak pada Isnin, sebelum dibawa ke IPK Johor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Isnin memaklumkan penahanan tiga individu yang memuat naik kenyataan di Facebook yang menghina Islam berkaitan kematian Haron Din.

Dua daripada mereka ditahan di Shah Alam manakala seorang di Ipoh.

Pada isnin, Mahkamah Majistret Johor Bahru menolak permohonan reman oleh polis terhadap dua lelaki berhubung kes sama.