Dua lelaki ditahan di Selangor dan Perak pada Jumaat bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee.

Ugutan itu dipercayai dilakukan berikutan tidak berpuas hati mereka terhadap tindakan bekas Ketua Cabang PKR Sungai Petani itu keluar daripada parti berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, lelaki berusia 23 dan 39 tahun itu ditahan ketika serbuan di lakukan pasukan khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Tangkapan pertama dilakukan sekitar Telok Bunut, Banting, Selangor kira-kira pukul 6 petang manakala suspek kedua ditahan di Taman Sentosa, Langkap, Perak setengah jam kemudian.

Kedua-dua suspek dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut.


Jelas Adzli, hasil semakan rekod mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Polis turut merampas telefon bimbit milik kedua-dua suspek.

Kedua-dua suspek direman selama dua hari bermula hari ini sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Rabu lalu, Dr Robert membuat laporan polis berhubung beberapa ugutan yang diterima termasuk terhadap keluarga serta perniagaannya oleh beberapa individu melalui Facebook dan kiriman mesej.