Seorang pemuda berusia 34 tahun berdepan detik cemas apabila mercun bola yang dipegangnya meletup sekaligus menyebabkan dua jari tangan kirinya hancur.

Dalam kejadian kira kira jam 4 petang pada Sabtu, di Kampung Changai, di sini, mangsa turut mengalami kesan terbakar pada dada dipercayai akibat letupan tersebut.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail menjelaskan mercun bola tersebut dipercayai dinyalakan secara tidak sengaja oleh mangsa yang sedang menunggang motosikal sambil menghisap rokok ketika kejadian.

Berdasarkan maklumat pesakit, dia sedang memegang empat biji mercun bola dengan tangan kirinya, sebelum secara tidak sengaja menyalakan sumbu kesemua mercun sehingga menyebabkan letupan terbabit.

Akibat letupan itu, mangsa mengalami kecederaan serius pada jari manis dan kelingking sehingga menampakkan tulang yang patah akibat letupan yang terjadi.

Lelaki itu seterusnya dikejarkan ke Hospital Sik bagi rawatan awal dan selepas dilaporkan stabil, mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim bagi menerima rawatan lanjut. - Foto Astro AWANI

Lelaki itu seterusnya dikejarkan ke Hospital Sik bagi rawatan awal dan selepas dilaporkan stabil, mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim bagi menerima rawatan lanjut.

Terdahulu pihak hospital turut mendapatkan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat Sik bagi menanggalkan cincin yang tersangkut pada jari manis mangsa.

Difahamkan, lelaki terbabit yang mengambil upah menjaga kebun dalam perjalanan untuk menghalau sekumpulan kera dengan menggunakan mercun bola yang ada padanya ketika kejadian.