Hanya kerana ingin meminjam RM5,000, seorang lelaki kerugian RM72,999 selepas membuat 47 transaksi pembayaran sejak Mei tahun lalu hingga dua hari lepas bagi mendapatkan wang pinjaman itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa, 39, sebelum itu tertarik dengan tawaran pinjaman melalui laman sosial Facebook sebelum bertindak memberikan pelbagai maklumat yang diminta.

"Mangsa yang telah berhenti bekerja pada tahun lalu, kemudian dihubungi oleh seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Miss Kriss dari Syarikat EZ Enterprise Moneylender.

"Lelaki itu kemudian telah diminta membuat bayaran sebelum permohonan pinjaman itu diluluskan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya mangsa difahamkan telah meminjam wang daripada bekas majikan dan keluarganya untuk membuat pembayaran tersebut dan telah memasukkan wang secara berperingkat berjumlah RM72, 999 ke dalam 14 akaun yang diberikan.

Mohd Wazir berkata mangsa hanya mengesyaki ditipu apabila suspek masih meminta mangsa membuat bayaran tambahan dua hari lepas dan lelaki itu kemudian bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.

Kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebat jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA