Lelaki kejam tembak monyet akhirnya ditahan polis

Lelaki kejam tembak monyet akhirnya ditahan polis
Dalam sebuah video yang tular, monyet itu ditembak dengan kejam hanya kerana tidak boleh bertutur seperti yang diminta.
IPOH: Polis menahan dua beranak pada Rabu malam berhubung kes tembak seekor monyet yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Sepasukan anggota polis daripada bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Kenangan, Sitiawan, Perak kira-kira jam 9.20 malam.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pemilik pistol berusia 54 tahun itu ditahan bersama anaknya yang berusia 18 tahun yang disyaki menembak monyet berkenaan.

Berdasarkan siasatan awal, remaja lelaki itu mengaku mengambil pistol bapanya yang sedang tidur dalam pondok di kebun pisang mereka pada hari kejadian.

BACA: Kejam! Selebriti kecam lelaki tembak monyet gara-gara tak sebut 'Baby Sayang'

“Nasihat saya kepada pemegang-pemegang lesen senjata api perlu berhati-hati menentukan keselamatan senjata api yang mereka mohon. Yang mempunyai lesen, tentukan (senjata api itu) diletakkan di tempat yang tidak boleh yang diambil oleh anak-anak.

“Daripada siasatan kita, lelaki Melayu yang berumur 54 tahun ini tak tahu anak dia mengambil senjata apinya,” ujar beliau.

Dalam video berdurasi 20 saat yang tular di media sosial, seorang lelaki menembak monyet gara-gara tidak memanggilnya ‘baby sayang’ sehingga mengundang kecaman netizen yang mengutuk kejadian itu.

Kedua-dua suspek termasuk bapanya yang berkerja sebagai peniaga itu direman selama empat hari sehingga 26 Mei ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan.


Tag: tembak monyet, tembak beruk, video tular, polis, pdrm, anak beranak ditahan, kekejaman terhadap haiwan, kanun keseksaan, video viral



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.