Prosiding di Mahkamah Sesyen di sini pagi ini kecoh apabila seorang lelaki di dalam kandang tertuduh menangis dan menjerit-jerit selepas bapanya menarik semula jaminan.

M. Henry Dass, 26, bukan sahaja menangis dengan kuat, malah sujud di bahagian tepi kandang berhampiran bapanya, V. Maria Dass, 55, yang berdiri bagi menjelaskan kepada mahkamah sebab beliau enggan membayar ikat jamin anaknya.

Kekecohan itu menyebabkan Hakim S. Indra Nehru menangguhkan seketika prosiding bagi memberi masa kepada tertuduh dan bapanya menyelesaikan masalah berkenaan.

Selepas prosiding bersambung semula, Henry Dass terus menangis dan merayu kepada bapanya agar membayar ikat jamin RM3,000 sehingga memaksa dia dibawa keluar dari mahkamah oleh polis bertugas.

Henry Dass didakwa melakukan rompakan berkumpulan di Buntong, di sini pada 8 Jun lalu kira-kira 12.30 tengah malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hamizah Ghazali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Maria Dass ketika ditemui pemberita berkata beliau enggan mengikat jamin anaknya kerana dia tidak pernah insaf dan terus melakukan jenayah.

"Saya telah habis lebih RM20,000 untuk membayar denda bagi tiga atau empat kes yang dia lakukan dan semua duit itu saya terpaksa pinjam daripada orang lain," katanya.

-- BERNAMA