Lelaki lari dari perintah buang daerah diberkas polis

Lelaki lari dari perintah buang daerah diberkas polis
Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut. - Astro AWANI
DUNGUN: Seorang pemuda yang menjadi buruan polis sejak tiga hari lalu kerana melarikan diri dari perintah buang daerah berjaya ditahan pada Selasa.

Lelaki itu diberkas di tepi jalan pada jam 6.15 petang ketika sedang bersembunyi di Kampung Kubang Miang, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Supt Mohamad Zohan Seman berkata, suspek dikenali sebagai Fahmi Absober, 20 tahun.

Menurutnya, suspek pada Ahad telah dihantar untuk menjalani hukuman buang daerah di Jeli, Kelantan, selama dua tahun atas kesalahan curi motosikal.

Bagaimanapun, dia bertindak melarikan diri pada hari yang sama, dengan menaiki motosikal yang dicurinya di sebuah masjid di Kampung Batu Melintang, Jeli, ketika jemaah sedang menunaikan solat Maghrib.

Hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada penemuan motosikal yang dicurinya itu yang disorokkan di dalam semak tidak jauh dari tempat dia ditahan.

Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal dan suspek ditahan di bawah pengawasan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.