Tutup

Lelaki maut dalam tahanan Imigresen ada pas pelajar sah - Suruhanjaya Tinggi Nigeria

Lelaki maut dalam tahanan Imigresen ada pas pelajar sah - Suruhanjaya Tinggi Nigeria
Orhions Ewansiha Thomas, pelajar Doktor Falsafah (PhD) di Limkokwing University of Creative Technology, meninggal dunia di Depot Imigresen Bukit Jalil pada 9 Julai. -Foto Twitter @Thomasorhionse1
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tinggi Nigeria mengesahkan warganya yang meninggal dunia ketika dalam tahanan Imigresen pada 9 Julai lalu mempunyai pas pelajar sah yang tamat tempoh pada 23 September 2019.

Orhions Ewansiha Thomas, pelajar Doktor Falsafah (PhD) di Limkokwing University of Creative Technology, meninggal dunia di Depot Imigresen Bukit Jalil pada 9 Julai ketika dalam tahanan susulan satu operasi oleh pihak Imigresen pada 4 Julai.

Walaupun Thomas telah mengemukakan pasport dan pas pelajarnya, namun dia ditahan kerana tindakannya melarikan diri daripada operasi tersebut menimbulkan keraguan pihak Imigresen terhadap kesahihan dokumennya.

Thomas direman 14 hari namun meninggal dunia pada hari kelima dia ditahan.
Setakat ini, pihak Imigresen Malaysia belum menjelaskan hasil siasatan berhubung kesahihan pas pelajar yang dimiliki Thomas.

“Suruhanjaya Tinggi kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia dan menantikan keputusan laporan bedah siasat,” jelas Suruhanjaya Tinggi Nigeria dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, “Suruhanjaya Tinggi turut mempertimbangkan pandangan masyarakat Nigeria di Malaysia.

“Kami akan memastikan langkah-langkah yang perlu akan diambil untuk menangani insiden malang ini sambil mempertimbangkan langkah pembetulan supaya ia tidak berulang lagi.”
Suruhanjaya Tinggi Nigeria juga menyeru agar warganya di Malaysia terus mematuhi undang-undang dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa ketika siasatan ke atas kematian Thomas dijalankan.

Semalam, Kementerian Pendidikan turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan sedang mendapatkan perkembangan daripada Kementerian Dalam Negeri berkaitan kematian pelajar tersebut.

BACA: Pelajar warga Nigeria meninggal dunia ketika dalam tahanan imigresen

Thomas dipercayai mengalami sawan ketika sedang tidur sebelum disahkan meninggal dunia sekitar tengah malam 9 Julai.

Thomas meninggalkan seorang isteri dan dua anak yang turut tinggal di Malaysia.