Lelaki maut dihempap forklift

Lelaki maut dihempap forklift
Muhammad Vigaya Kumar meninggal dunia ketika jentera dipandunya terbalik ketika mengangkat besi bersimen konkrit. -foto Sinar Harian
KUALA SELANGOR: Seorang lelaki maut akibat dihempap forklift yang dipandunya dalam kejadian di sebuah kilang di Bestari Jaya, kelmarin.

Kejadian jam 3.55 petang itu menyebabkan mangsa, Muhammad Vigaya Kumar, 39, beralamat di Jalan Merdeka di sini meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, kejadian berlaku ketika mangsa memandu jentera terbabit sedang mengangkat besi bersimen konkrit.

"Jentera dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan tiba-tiba terbalik dan menghempap mangsa," katanya.

Md Asri memberitahu, kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.