Seorang penunggang motosikal maut dalam kejadian hujan lebat beserta angin kencang melanda negeri Kedah pagi ini.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi tadi, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian berhenti di persimpangan lampu isyarat Jitra-Kodiang.

Ketika itu hujan beserta angin kencang telah mengakibatkan sebatang pokok yang berada di bahu jalan tumbang lalu menghempap mangsa bersama motosikalnya.

Mangsa Abdul Halim Mat Isa, 47, mengalami kecederaan parah di kepala selain patah tulang bahu dan belakang disahkan maut kira-kira 4 petang tadi sewaktu menerima rawatan di Hospital Jitra.

Menurut Ketua Balai Bomba Penyelamat Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Kodiang dipercayai ingin pulang ke rumahnya di Jitra.

Pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian lima minit selepas menerima panggilan berjaya mengeluarkan mangsa yang dihempap dahan pokok besar.

Mangsa kemudian di hantar ke Hospital Jitra untuk rawatan lanjut.

Ini kejadian kedua angin kencang melanda daerah Kubang Pasu dalam bulan ini selepas Taufan Lekima pada 9 Ogos lalu mengorban nyawa seorang wanita.

Mangsa Marziah Che Omar, 27, meninggal dunia sewaktu menunggang motosikal di Batu 13, berhadapan Masjid Siti Fatimah, dekat Jitra cuba mengelak bumbung zink berterbangan sebelum terbabas dilanggar sebuah kenderaan yang datang dari arah belakang.