Seorang lelaki terbunuh selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam parit di Jalan Hock Ming, Sungai Bidut di sini pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa, Hii Sie Lee, 30, cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans Hospital Sibu.

"Kereta mangsa ditemui dalam keadaan terbalik di dalam parit yang berair oleh orang awam yang melalui kawasan kejadian pada subuh pagi tadi," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga Iswara dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah dari arah Sungai Merah menuju ke Jalan Hock Ming apabila kemalangan berlaku.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit dan keretanya terbalik.

Sementara itu, pihak bomba yang menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.54 pagi telah menghantar sekumpulan anggota bersama jentera ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa dari kenderaan.

Kata Stanley, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.